Followers

Wednesday, September 25, 2013

Mengapa Kanak-Kanak Perlu Bermain?

Konsep dan Peranan Main 

Konsep main boleh dijelaskan sebagai “… tingkah laku dinamik, aktif dan konstruktif yang telah disebatikan dalam diri kanak-kanak. Ia merupakan satu keperluan dalam alam kanak-kanak, dari peringkat bayi sehingga peringkat remaja” (Brewer, 2001, m.s.144). 

Sudah tentu anda masih ingat pengalaman bermain semasa anda di bangku sekolah. Pengalaman tersebut masih meninggalkan perasaan kegembiraan, kebebasan dan emosi yang menenangkan jiwa. Sebenarnya dari perspektif psikologi, kesemua perasaan ini memberi kesediaan kognitif kepada individu tersebut untuk belajar pada tahap optimum.

Bermain merupakan aktiviti di dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Melalui aktiviti bermain, kanak-kanak belajar berkenaan diri sendiri dan hubungan dengan alam persekitarannya. Main adalah proses di mana pembelajaran berlaku, main ialah tugas  belajar kanak-kanak. Oleh yang demikian, ibu-bapa, orang dewasa dan guru perlu memahami peranan dan kepentingan main dalam proses pembelajaran kanak-kanak di sekolah. Tanpa pengetahuan dan kefahaman tentang konsep ini, main dianggap tidak mendatangkan faedah dan hanya membuang masa dan tenaga sahaja. 

Mengikut Piaget (1962), kanak-kanak memerlukan aktiviti bermain kerana: 
  • Main memberikan peluang kepada kanak-kanak meluahkan idea, perasaan dan emosi
  • Main dapat mewujudkan perasaan tenang dan menghiburkan hati 
  • Main menyediakan saluran untuk kanak-kanak menggunakan tenaga yang berlebihan
  • Main membolehkan kanak-kanak menyediakan diri ke arah kedewasaan atau kematangan 
  • Main memberikan peluang kepada kanak-kanak belajar menyelesaikan pelbagai bentuk masalah (kognitif, motor, sosial) yang menyumbang kepada perkembangan intelek 
  • Main membudayakan proses pembelajaran termasuk mengulang, latihan, latih tubi, peniruan, penerokaan, penemuan, perkaitan, membuat huraian, rumusan, mensintesis dan menguji 
  • Main membantu dalam pembentukan jati diri, ketrampilan diri, pemupukan nilai murni seperti motivasi intrinsik, penglibatan, ketahanan, kemahiran interpersonal, keyakinan diri dan berani bertindak. 


Kepentingan dan Faedah Bermain 

Secara umum, bermain boleh membantu kanak-kanak dalam perkembangan fizikal, perkembangan sosioemosi, perkembangan kognitif dan perkembangan bahasa. 

1. Perkembangan Fizikal 

Kanak-kanak menguasai kawalan motor halus dan motor kasar melalui bermain. Kemahiran motor kasar yang dapat dikembangkan melalui aktiviti seperti berlari bebas, melompat, memanjat, menendang, mengangkat, membaling dan menyambut (bola). Ini memberi kesedaran kepada kanak-kanak tentang fungsi badan sendiri, kegunaan ruang dan arah tujuan. 

Aktiviti membutang, mewarna, melukis, menampal dan mencantum dapat mengembangkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan. Kemahiran manipulatif dapat dibina melalui aktiviti seperti mencucuk benang ke dalam manik, jigsaw puzzles, mengikat reben, kraft tangan dan membentuk menggunakan doh. 

2. Perkembangan Sosioemosi 

Semasa bermain, kanak-kanak berpeluang belajar berinteraksi dengan orang lain secara positif, mengajak kanak-kanak keluar daripada pola egosentrik, mengambil kira pandangan rakan, menghormati hak orang lain, bersabar dan bertolak ansur. Mereka dapat belajar untuk menangguh kehendak semerta diri (delayed gratification) untuk mencapai matlamat jangka panjang. Dengan itu main memberi peluang kepada kanak-kanak membina konsep kendiri yang positif, keyakinan diri serta melahirkan sentimen dan menstabilkan emosi. 

Aktiviti main peranan seperti berpura-pura menjadi doktor dan pesakit atau menaiki bas olok-olok memberi latihan kepada kanak-kanak untuk menguasai pengetahuan dari persekitaran serta membantu perkembangan kemahiran bersosialisasi. Permainan imaginatif seperti ini memberi latihan kepada kanak-kanak mengenali alam dewasa. Mereka belajar bekerjasama untuk mencapai matlamat kumpulan. 

3. Perkembangan Kognitif dan Bahasa 

Bermain juga dapat membantu memperkembangkan kebolehan kognitif seperti mengenal pasti, mengkategori, membuat urutan, memerhati, membezakan, meramal, membuat rumusan, dan membuat perbandingan. 


Akiviti seperti membina blok, permainan bahasa, permainan dam, puzzle, teka-teki, nyanyian dan congkak membantu mengembangkan kemahiran bahasa, matematik dan sains serta berfikir secara logik dan kreatif. Kanak-kanak juga dapat meningkatkan kemahiran penggunaan bahasa dalam persekitaran yang relaks, semulajadi dan seronok.


Pengalaman Langsung Melalui Bermain 

Cara pembelajaran terbaik untuk kanak-kanak belajar tentang dunia mereka adalah melalui pengalaman langsung. Ibu bapa tidak akan berkata, “Jangan tengok labah-labah ini, baca buku tentang labah-labah.” 

Seseorang akan memahami apa yang diperkatakan oleh orang lain berdasarkan pengalaman mereka. Kanak-kanak mungkin mempunyai pengalaman langsung yang terhad, guru dan ibubapa harus mengaturkan peluang untuk kanak-kanak mengalaminya. Oleh itu proses pembelajaran adalah lebih berkesan bagi kanak-kanak yang masih dalam peringkat perkembangan Operasi Konkrit (7-12 tahun) untuk mengalami persekitaran pembelajaran yang berunsurkan hands-on, penglibatan dan eksperiential. Pengalaman langsung yang paling asas dan semula jadi ialah bermain.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...