Followers

Friday, June 17, 2011

Selamat Hari Bapa


Selamat
Hari 
Bapa


Engkau BAPAKU
oleh: ALIYAH SIJARI


Ayahku!
Hari ini aku coretkan sebuah naskah cantik buatmu
tanda syukur tak terbanding terhadap Ilahi
kerana kaulah kami lahir di sini.....

Ayahku! 
Engkau adalah legasi seorang khalifah tersohor di muka bumi
amanah warisan seorang lelaki bernama Adam a.s
hanya Dia Yang Maha Tahu
kenapa kelompokmu dipilih memimpin kami!

Ayahku!
Bukankah kerana sempurna maka Adam dilantik?
maka sempurnakanlah tanggungjawabmu seperti mana
hebatnya Adam memimpin dunia....
kerana kamilah anak-anak jiwa merdeka
yang sentiasa berusaha membalas jasa
seorang lelaki bernama ayah!

Ayahku!
Mengertilah dikau bahawa sesungguhnya kami amat bangga
menjadi anak yang punya bin di hujung nama
tanda nama  itu amanah penjaga kami
menjadi pelengkap di hadapan Ilahi

Ayahku!
Usaha kau nafikan hak kami
sebagai amanah yang mesti kau bela belai berseni
hadir kami adalah titipan Rabul Izzati
ke atas kedua pundakmu untuk dijagai selalui

Ayahku!
Walau terkadang waktu kau sukar menterjemahkan sayang
namun reaksi itu sudah kami maklumi berabad lalu
andai dalam hati masih tergumpal  rasa mesra
luahkanlah agar kami tahu sebenarnya kau adalah
lelaki terbaik dalam lingkungan kami!

Ayahku!
Mengertilah bahawa engkaulah lelaki
yang sentiasa bertakhta di sanubari
asbab cinta kasihmu bersama ibu
lantas kami pun lahir dewasa di sini
kaulah pembimbing awal dan akhir
sehingga kekal  bersemadi
di syurga yang abadi!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...